Di sini Faez hanya ingin berkongsikan pada semua apa pandangan Faez terhadap politik Malaysia masa kini... teringat pada masa kecil dahulu, "saya tak nak kawan awak..." "saya tak nak geng awak" ayat-ayat inilah yang acapkali didengari dalam pergaulan harian. Faez rasa bukan masa kecil sahaja ayat sebegitu, di kala medan kedewasaan ini pun masih wujud lagi ayat-ayat sebegitu cuma perbezaannya hanya kematangan ayat tersebut.
Siapa yang banyak pengaruh dialah yang berjaya, itulah realiti politik. Jika rasa pengaruhnya tergugat, apa jua cara sekali pun akan dilakukan demi menyelamatkan diri. Kotor? Bersih? Murni? itu lain cerita, janji posisi saya dalam politik selamat. Politikus hebat yang lain di Malaysia ini mampu meng'hidup'kan dan mem'bunuh' karier politik seseorang. Hebat bukan? itulah kuasa pengaruh dalam politik. Jika anda berkuasa, suara anda akan lebih tepat meresapi transmisi kawalan pengikut-pengikutnya.
Cuma apa yang Faez kurang berkenan buat masa kini, ahli politik yang kini ada dalam bidang politik ramai di kalangan mereka tidak sepatutnya menjadi ahli politik. Kenapa? Mengapa? Pada pandangan Faez, peganglah prinsip... "Jika anda seorang idealistik, politiklah tempat anda... Jika anda ingin mencari kemewahan, keusahawananlah tempat anda" Faez rasa itu tepat bagi sesiapa yang berminat untuk menjadi politik dan usahawan.
Tahukah anda, prinsip itu jarang digunakan di Malaysia, ada yang terbalik pula penggunaan prinsip tersebut, medan politik ialah medan mencari kemewahan. Sebab itulah kadang kala ada sesetengah tempat yang ada program 'Juara Rakyat', kita boleh perbandingkan cara dan mentaliti pemikiran 'perasmi' yang terdiri dari kalangan ahli politik ini sama ada dia itu seorang yang berisi percakapannya atau tin kosong bernanti untuk dijual di besi buruk. Tapi ada sesetengah tempat, percakapannya cukup idealistik hingga terpukau Faez mendengarnya dan terus menjadi pendengar setia. Namun ada juga sampah sarap yang berucap bukan untuk kepentingan rakyat tapi demi tembolok masing-masing dan ideanya agak jumud jika dibandingkan dengan SOP yang sepatutnya kerajaan sendiri letakkan. Menghina, mencari salah, menunjukkan kebodohan diri, merapu dan pelbagai perkara negatif bermain dalam semburan ayatnya.
Sebab itu, Faez fikirkan kembali, mengapa masih ada ruang ketakutan yang diletakkan di hati rakyat supaya mereka terpaksa memilih calon bukan pilihan untuk menjadi wakil rakyat mereka? Di kawasan Felda contohnya, Faez nampak, ada sesetengah pemimpin yang memang tidak langsung ambil tahu masalah rakyat. Pada mereka, status dalam politik itu akan kekal bersama selamanya kerana dia tahu kelebihan pada label dirinya bukan kerana kehebatan sebagai pemimpin. Dalam masa yang sama apa faktor mereka cuba terus kekal dalam politik? Sebab projek? Sebab Mewah? Sebab Elaun?
Berbalik kembali pada prinsip yang Faez sebut sebentar tadi, jika anda ada idea, boleh membantu rakyat, boleh membuat perubahan terhadap taraf kehidupan rakyat, andalah insan yang patutnya dipilih untuk menjadi pemimpin. Jika anda boleh menjana duit, dan ekonomi negara, anda jadilah usahawan. Barulah negara kita ini ada peningkatan ekonomi dengan wujudnya politik yang membawa idea, dan usahawan yang membawa peningkatan ekonomi. Jadi bila ekonomi stabil dan ada peningkatan dari tahun ke tahun, maka kerajaan tidak perlulah memotong subsidi.
Itu sahaja sekilas pandangan Faez...

No comments:
Post a Comment